Kyiv bandingkan Russia dengan Daesh

KYIV : Ukraine membandingkan Russia dengan Daesh selepas video menunjukkan tentera Russia memenggal kepala seorang tawanan Ukraine dengan pisau Rabu lalu.

Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan atau asal video yang dikongsi di media sosial itu, yang menunjukkan seorang lelaki berpakaian seragam memenggal kepala seorang lelaki memakai ikat pinggang kuning yang digunakan askar Ukraine.

Tiada ulasan segera mengenai video itu dari Moscow, yang sebelum ini menafikan tenteranya melakukan kekejaman semasa pencerobohan berskala penuh Russia yang dilancarkan tahun lalu.

“Ada sesuatu yang tidak boleh diabaikan oleh sesiapa di dunia, betapa mudahnya ‘binatang’ ini membunuh,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky satu dalam mesej video.

Menteri Luar Ukraine, Dmitro Kuleba, berkata sebuah video ngeri mengenai tentera Russia memenggal kepala seorang tawanan perang Ukraine sedang tular dalam talian.

“Adalah tidak masuk akal bagi Russia, yang lebih teruk daripada Daesh, mempengerusikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Pengganas Russia mesti ditendang keluar dari Ukraine dan PBB serta bertanggungjawab atas jenayah mereka,” katanya, merujuk kepada UNSC, di mana Russia mengambil alih jawatan presiden bergilir bulan ini.

Pengganas Daesh di Iraq dan Syria sebelum ini terkenal kerana kerap menyiarkan video mereka memenggal kepala tawanan apabila mereka menguasai sebahagian besar negara itu dari 2014-2017.

Agensi keselamatan domestik Ukraine berkata ia sudah melancarkan siasatan ke atas jenayah perang yang disyaki berhubung video itu.

“Semalam, satu video muncul di Internet menunjukkan bagaimana penceroboh Russia menunjukkan sifat binatang mereka, dengan kejam menyeksa seorang banduan Ukraine dan memenggal kepalanya,” kata agensi SBU di Telegram.

Sementara itu, Kremlin berkata video yang tersebar di media sosial kononnya menunjukkan seorang askar Ukraine dipenggal adalah mengerikan dan kesahihannya perlu disemak.

Video itu, yang dikritik hebat oleh Ukraine, menunjukkan tentera Russia yang jelas merakamkan diri mereka memenggal kepala seorang tawanan Ukraine dengan pisau.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.