‘Hajiji kekal Ketua Menteri Sabah hingga akhir penggal’

PAPAR: Kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dan kerajaan negeri pimpinannya kekal sehingga akhir penggal pada 2025.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri mempunyai jalinan hubungan erat.

Justeru, tegasnya, adalah penting situasi tenang diwujudkan dalam kalangan pelbagai parti politik terutama di peringkat negeri.

“Kita berada dalam fasa atau ruang untuk mewujudkan situasi tenang antara pelbagai parti di Sabah.

“Untuk UMNO sendiri, saya telah memberitahu rakan-rakan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah supaya tidak melakukan perkara yang mengguris perasaan atau hati mana-mana pihak.

“Ada beberapa langkah penyelesaian sedang dilakukan. Kita mencari cara terbaik supaya kerajaan sedia ada dikekalkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Benoni, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Ahmad Zahid turut berharap pemegang jawatan sedia ada dikekalkan jawatan seperti dipersetujui, sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan atau ketua kampung.

“Kita tidak mahu ada pertukaran disebabkan perkara antara Semenanjung dan Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan antara Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ahmad Zahid berkata kedua-duanya perlu mempunyai keserasian dalam memajukan Sabah.

“Keserasian mesti ada. Mereka adalah pemimpin UMNO Sabah yang berada di tahap peringkat pusat dan menunjukkan prestasi baik,” katanya.

Mengenai kesediaan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekerjasama dengan parti politik lain di Sabah pada PRN akan datang, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai hubungan baik dengan 20 parti berbeza di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Pada 14 Mei ini, kita akan mengadakan konvensyen semua parti dalam kerajaan dan akan ada pengumuman penting oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan,” katanya

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.