Kecoh di Pasir Salak, 10 lelaki ‘serbu’ dewan ketika kiraan undi

PASIR SALAK: Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak kecoh seketika apabila sekumpulan lelaki menyerbu Dewan FELCRA Seberang Perak, di sini, ketika proses pengiraan undi berlangsung.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 malam apabila seorang daripada penyokong Khairul Azwan Harun dikatakan keterlaluan meraikan kemenangan calon itu dalam pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

Berdasarkan maklumat, sekurang-kurangnya 10 individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu menyerbu masuk ke dewan terbabit sehingga mencetus situasi kecoh.

Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dileraikan oleh petugas keselamatan dan anggota polis.

Keputusan tidak rasmi bagi Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak, menyaksikan Khairul Azwan atau lebih dikenali Azwan Bro menewaskan anak bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Dr Faizal Tajuddin bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian yang baru.

Khairul Azwan, 47, dilaporkan menang dengan majoriti 46 undi apabila memperoleh 342 undi, manakala Faizal 296 undi.

Kemenangan ini sekali gus menamatkan legasi kepemimpinan Tajuddin yang mengetuai bahagian itu selama 18 tahun sejak 2004.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.