‘Banjir di Batu Pahat surut dalam tempoh 2 minggu atau sebulan’
BATU PAHAT: Banjir di daerah ini dijangka surut dalam tempoh dua minggu atau sebulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.
Beliau berkata, perkara itu bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor yang menempatkan pam air di beberapa lokasi di sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lalu.
“Ujian yang kita hadapi sejak 1 Mac lalu ialah air banjir tinggi dan kini air sedang mengalir keluar.. Kita jangka dua minggu atau sebulan akan surut kerana keadaan air banjir termenung, jadi kita kena pam keluar (air).
“Sebanyak 21 pam lagi akan dibawa dari semua negeri ke Batu Pahat, tetapi (untuk memasang) pam air ini kita mesti melihat air sungai tidak melepasi paras tebing,” katanya selepas meninjau operasi pam air tambahan dipasang di Pintu Air Kuala Senggarang di sini hari ini.
Raven berkata, situasi banjir di Johor seperti di Segamat menunjukkan penurunan bilangan mangsa, namun di daerah Batu Pahat menyaksikan trend statik dan peningkatan susulan air banjir termenung serta air melimpah ke kawasan rendah.
Beliau berkata, beberapa lokasi di Johor yang sebelum ini mengalami banjir seperti di Segamat sudah memasuki fasa pascabanjir dan kerja pembersihan sudah dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan.
Sementara itu, Pengarah JPS Johor, Azren Khalil berkata, 46 pam bergerak dengan kapasiti pam lima hingga 20 cusec (kaki persegi sesaat) dipasang di tujuh daerah di negeri itu sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, 14 pam dipasang di Tangkak, Batu Pahat (12), masing-masing enam di Johor Bahru dan Pontian, Mersing (empat), Muar (tiga) dan satu di Kota Tinggi.
“Pam air ini dipasang untuk menyokong pintu air bagi mempercepatkan aliran air banjir ke laut atau sungai utama,” katanya.
Setakat jam 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan 43,793 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,919 orang.
Sponsored by Egroup88