JDT tak dabik dada

KUALA LUMPUR: Status sebagai penyandang juara Liga Super buat sembilan kali berturut- turut sama sekali tidak membuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendabik dada dan sebagai ‘lesen’ memandang mudah setiap perlawanan.

Dengan keinginan setiap pasukan turun untuk mengecewakan skuad Harimau Selatan, pengendalinya, Esteban Solari mengakui anak buahnya perlu bersedia untuk berdepan cabaran yang sengit bagaikan aksi final.

Justeru, barisan pemainnya perlu terus konsisten dalam memperagakan aksi yang terbaik bagi memastikan tiga mata dapat dikutip dari setiap perlawanan.

“Setiap perlawanan adalah cabaran bagi kami kerana pasukan lain mempunyai impian untuk mengalahkan JDT. Malah, sudah tentu mereka beraksi seperti di pentas final setiap kali bertemu JDT sekali gus memberi cabaran berbeza buat skuad Harimau Selatan.

“Kita akan harungi setiap perlawanan terbabit tanpa sebarang masalah dan berharap pemain akan terus memberikan komitmen terbaik di atas padang,” katanya. Sebagai rekod, JDT masih cemerlang dengan dua kemenangan daripada dua aksi yang diharungi setakat ini.

Mereka berjaya menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 sekali gus menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebelum menundukkan KL City FC 3-0 pada aksi kedua, Rabu lalu.

Bagi aksi ketiga malam ini, mereka akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.