KOTA TINGGI: Maahad Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut di sini, mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila satu tan bekalan beras, al-Quran, kitab, buku DAN komputer milik pusat pengajian itu rosak ditenggelami banjir.

Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail, berkata banjir yang berlaku kira-kira jam 2.20 pagi Rabu lalu, berlaku terlalu pantas menyebabkan pelbagai barangan itu tidak sempat dialihkan ke tempat lebih tinggi.

Katanya, mereka tidak menyangka banjir kali ini agak teruk dan air memasuki hampir semua ruangan bangunan maahad termasuk asrama, bilik guru, pejabat pentadbiran, perpustakaan, dapur dan dewan makan.

“Ketika kejadian, saya berada di Kuala Lumpur dan menerima pesanan melalui WhatsApp daripada kakitangan memberitahu air naik terlalu cepat.

“Ketika 15 minit sebelum kejadian, warden sempat membuat rondaan dan kemudian air naik hingga paras betis dengan pantas, sebelum surut semula pada jam 5 pagi.

“Kami syak limpahan air ini berpunca daripada kepala air kerana terdapat parit di belakang maahad,” katanya ketika ditemui di maahad itu di sini.

Beliau berkata, ketika kejadian, terdapat 140 pelajar lelaki termasuk 20 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Jaya di sini.

Bagaimanapun, katanya, semua pelajar selamat dan dikumpulkan di surau, manakala 20 pelajar SPM terbabit diuruskan ke dewan peperiksaan secara berperingkat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi.

Pada masa sama, Mohammad Afdhaluddin mengalu-alukan sumbangan orang ramai berikutan bekalan makanan seperti beras dan gula antara yang diperlukan ketika ini.

“Semalam, ada beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) membantu kami. Keutamaan kami adalah bekalan makanan untuk pelajar kerana kos makanan tinggi, beras saja kami perlu hampir dua tan sebulan,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Maahad Tahfiz Al Jauhar 551070426214 atau menghubungi talian 019-2441406.

Mohammad Afdhaluddin menunjukkan al-Quran dan dokumen yang rosak akibat banjir di Maahad Tahfiz Al- Jauhar, Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.