Sungai Bandar Segamat melimpah, ratusan penduduk terperangkap

JOHOR BAHRU: Ratusan penduduk Segamat termasuk wartawan sambilan NSTP di Segamat berdepan detik cemas apabila terperangkap di pusat bandar daerah itu akibat banjir sejak 3.30 petang tadi.

Wartawan, Ahmad Ismail berkata, limpahan air Sungai Bandar Segamat yang bergerak laju ke daratan menyebabkan ratusan penduduk yang mahu menyeberangi Jambatan Bandar Segamat terperangkap.

Katanya, air Sungai Bandar Segamat yang berarus deras kini membanjiri dan menenggelamkan kawasan pusat komersial termasuk deretan pusat perniagaan menyebabkan ratusan penduduk panik dan mencari kawasan tinggi untuk menyelamatkan nyawa dan kenderaan.

“Saya baharu selesai membuat liputan keadaan banjir di Kampung Jawa, yang semakin buruk sebelum mahu menghala pulang ke rumah di Gemereh kira-kira jam 3.30 petang.

“Namun ketika menuju ke Jambatan Bandar Segamat, laluan sudah mula ditutup dan pihak berkuasa mengarahkan semua kenderaan berpatah balik kerana air Sungai Bandar Segamat dikatakan sudah mula melimpah.

“Kebanyakan pemilik kenderaan termasuk saya mengambil keputusan berhenti rehat di restoran berhampiran namun tidak lama selepas itu nampak luruan air menyebabkan kami mulai panik dan menyelamatkan diri.

“Kini ratusan penduduk terpaksa berlindung di kawasan tinggi dan berbukit berhampiran bandar iaitu Kampung Sedeng dan Paya Pulai, bagi memastikan kenderaan kami tidak ditenggelami air bah yang semakin tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan empat sungai di Segamat melepasi paras bahaya termasuk Sungai Bandar Segamat yang merekodkan paras bahaya 10.56 meter.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau dan penduduk yang terperangkap kini risau keadaan banjir di kawasan itu akan lebih buruk berikutan keadaan hujan berterusan selain air Sungai Bandar Segamat yang semakin jauh menuju ke kawasan penempatan.

“Ia mengingatkan saya kembali kepada bencana banjir besar yang melanda Segamat pada 2006 dan 2011.

“Saya dan penduduk terperangkap hanya memikirkan keselamatan nyawa dan kenderaan kami sahaja dengan kebanyakan kami kesejukan kerana pakaian basah akibat hujan berterusan,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.