YTL Corp rekod keuntungan suku kedua RM96.91 juta
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) melonjak kepada RM96.91 juta bagi tempoh suku kedua berakhir pada 31 Disember 2022 (suku kedua tahun kewangan 2022) daripada RM2.04 juta pada setahun sebelumnya.
Hasilnya bagaimanapun lebih rendah pada RM6.59 bilion daripada RM6.85 bilion sebelum ini berikutan kerja-kerja membabitkan segmen pembinaan serta utiliti, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Bagi suku kewangan semasa di bawah kajian, perolehan hasil industri simen serta bahan binaan meningkat secara ketara, didorong terutamanya oleh kenaikan dalam harga jualan di pasaran domestik serta Singapura.
“Peningkatan hasil pelaburan dan pembangunan hartanah juga disebabkan terutamanya oleh jualan membabitkan projek-projek yang dijalankan di Kuala Lumpur serta Ipoh selain jualan direkodkan di bawah projek pembangunan dilaksanakan oleh YTL Property Holdings (UK) Ltd.
“Selain itu, pertambahan hasil perkhidmatan pengurusan serta lainnya dan penurunan kerugian sebelum cukai disebabkan oleh peningkatan pendapatan faedah yang diraih oleh YTL Power International Bhd,” katanya.
Menyentuh prospek pembinaan, ia berkata sejajar dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, kumpulan itu mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kemajuan kerja-kerja pembinaan ketika ini adalah mengikut jadual selain meningkatkan lagi nilai perolehan kontraknya.
Kumpulan itu turut mengunjurkan prospek perniagaan telekomunikasi yang lebih baik dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah langganan, dipacu oleh usaha kerjasama susulan langkahnya untuk terus menawarkan pelan-pelan data berpatutan serta perkhidmatan 5G yang inovatif.
“Malah, kumpulan ini menyasarkan prestasi segmen perniagaannya kekal berdaya tahan memandangkan operasi segmen terbabit yang sememangnya diperlukan.
“Kami akan terus memantau rapat sebarang risiko dan impak berkaitan ke atas segmen perniagaan,” katanya.
Sponsored by Egroup88