Azalina beri taklimat khas isu tuntutan Sulu, Selasa ini
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan beliau akan memberi taklimat khas mengenai isu tuntutan kumpulan Sulu kepada semua Ahli Parlimen, Selasa ini.
Azalina berkata, beliau kemudiannya akan ke Sabah pada Rabu untuk bertemu Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu sempena 10 tahun tragedi Lahad Datu.
Katanya, kerajaan sedar mengenai kepentingan untuk mewujudkan kempen awam supaya rakyat Malaysia tahu bahawa hak negara sedang diancam oleh lapan individu yang mengaku sebagai keturunan Sultan Sulu yang mangkat.
Memetik sebuah dokumentari yang diterbitkan sebuah stesen televisyen Singapura, baru-baru ini mengenai tragedi Lahad Datu, yang mengikatnya kepada pewujudan arbitrasi komersial oleh lapan individu itu, Azalina berkata, mereka sendiri mengakui mereka ialah rakyat Filipina.
“Ini isu kedaulatan. Kalau betul isu kedaulatan, kita berlawan dalam mahkamah mengenai kedaulatan, bukan mahkamah arbitrasi komersial.
“Jadi, mengganggu gugat harta dan aset negara kerana mereka nak menakutkan rakyat,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru, Azalina mengingatkan semua pihak di negara ini untuk bersatu supaya negara tidak dilihat bergolak dari segi politik yang memberi ruang untuk kumpulan Sulu menyerang.
“Itu sebab kita kena terima titah Tuanku, kita mesti menunjukkan kepada rakyat yang kita akan mentadbir dan membawa kebaikan kepada negara.
“Kalau kita tidak stabil sebagai kerajaan, mereka akan mengancam aset kita dan ingat bukan saja PETRONAS. Banyak lagi aset kita yang lain sedang dilihat mereka,” katanya.
Sponsored by Egroup88