Bekas imam maut nahas keluar simpang dekat masjid
MARANG: Seorang warga emas yang juga bekas imam maut, apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Masjid Kampung Durian Guling di sini, petang tadi.
Mangsa, Nordin @ Wan Ghazali Wan Ismail, 78, dari Kampung Durian Guling yang juga bekas imam masjid berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas jam 3.10 petang itu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang mangsa dengan sebuah Perodua Myvi dipandu jurujual wanita berusia 26 tahun dari Kampung Belukar Gorek, Wakaf Tapai, di sini.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Myvi dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang gagal mengelak motosikal mangsa yang dikatakan keluar secara tiba-tiba dari simpang berhampiran Masjid Durian Guling.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Myvi terbabit dari Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang untuk pergi ke tempat kerja di Pasaraya Xiri, Kuala Berang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Zain berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba mangsa yang datang dari arah simpang Masjid Durian Guling yang berada di sebelah kiri jalan memasuki laluan Myvi terbabit di lorong kanan jalan.
Katanya, oleh kerana jarak dua kenderaan terbabit terlalu dekat, wanita terbabit hanya sempat membrek tetapi gagal mengelak daripada terlanggar mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat,” katanya.
Sponsored by Egroup88