Pembersihan, pemilihan parti tumpuan mesyuarat MKT malam ini
Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar hadir ke Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar hadir mesyuarat MKT malam ini ketika spekulasi mengenai beberapa pemimpin parti itu akan digantung atau dipecat keahliannya.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang sebelum ini dilihat lantang menyuarakan pandangan terhadap kepemimpinan serta partinya sehingga dilihat pengkritik beliau sebagai tindakan sabotaj parti.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu tiba kira-kira jam 8.25 malam tadi sebelum dilihat naik ke tingkat 38 Menara Dato’ Onn untuk menghadiri mesyuarat, tanpa memberi sebarang reaksi kepada media.

Terdahulu siang tadi, laporan media yang memetik Noh, mengesahkan beliau bersama empat pemimpin UMNO Bahagian Tanjung Karang termasuk anaknya sendiri sudah diberi notis panggilan untuk menghadap Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.

Dalam laporan itu, beliau dipetik menyatakan sedia dipanggil Lembaga Disiplin UMNO dan rela dipecat jika prinsipnya bersuara demi parti dianggap sabotaj.

Mesyuarat MKT malam ini akan dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut dilihat hadir, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, Ahli MKT antaranya, Datuk Seri Samsul Annuar Nasarah, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Mohd Razlan Rafiee dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Selain itu, turut kelihatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh.

Mesyuarat MKT UMNO malam ini dijangka memberi tumpuan kepada agenda pemilihan UMNO serta usaha ‘pembersihan’ parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Beberapa nama yang dikatakan akan berdepan tindakan disiplin parti termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, di lobi Menara Dato’ Onn, kira-kira 30 petugas media sudah berkumpul sejak jam 7 malam tadi bagi membuat liputan mesyuarat malam ini.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.