Tukang gunting mengamuk, cuba serang polis guna parang
AMPANG: Seorang tukang gunting rambut bersenjatakan parang ditahan selepas dilaporkan mengamuk di kawasan sebuah kediaman di Taman Lembah Maju, di sini, pagi tadi.
Terdahulu tular dua video memaparkan suspek yang disyaki mengalami masalah mental menghalakan parang yang dipegangnya kepada anggota polis yang memegang papan penghadang keselamatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihak polis menerima maklumat kejadian itu dari orang awam sekitar jam 10.51 pagi tadi.
“Sebaik tiba untuk mengawal situasi berkenaan suspek dilaporkan bertindak agresif dengan menghalakan parangnya ke arah polis.
“Susulan itu anggota polis memberkas suspek berusia 45 tahun dan merampas sebilah parang pemotong daging berhulu kayu dengan lilitan tali rafia,” katanya ketika dihubungi BH.
Mohamad Farouk berkata, suspek kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan mempunyai rekod rawatan serta dilaporkan sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun yang sama,” katanya.
Sponsored by Egroup88