Henti politiking, jadikan 2023 tahun harmonikan Malaysia
SELAMAT tinggal 2022, selamat datang 2023. Menginjak kaki ke hari pertama 2023, Belalang yakin setiap orang mengharapkan yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan negara pada tahun ini.
Selepas menempuhi tempoh agak ‘serabut’ sepanjang tahun lalu, dipenuhi pelbagai polemik politik, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sehingga kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan yang mendebarkan, ditambah pula krisis ekonomi dan inflasi, Belalang percaya tiada lebih besar diharapkan rakyat pada tahun ini melainkan dapat meneruskan kehidupan dengan tenang, tenteram, aman dan makmur ekonomi.
Belalang sangat mengharapkan 2023 akan menjadi tahun lebih bermakna bagi rakyat Malaysia dan perjalanan negara ini menempuh cabaran mendatang, terutama suasana politik lebih tenteram dan harmoni serta kedudukan ekonomi terus stabil.
Dalam bahasa lebih mudah, ‘tahun baharu, semua mesti baharu’. Kita perlu memiliki azam baharu untuk membina bina semula negara ini. Rohani dan jasmani rakyat serta pemimpin perlu bersifat baharu bukan untuk tempoh singkat atau waktu tertentu sahaja.
Paling Belalang pentingkan adalah semua pihak terutama parti politik, pemimpin, ahli akar umbi dan penyokong atau bukan penyokong supaya menghentikan politik toksik.
Kini adalah masa untuk menumpukan usaha kepada pemulihan negara. Kerajaan Perpaduan yang dibentuk perlu membentuk semula pemikiran rakyat. Ahli politik, wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang serta keseluruhan rakyat bertanggungjawab melaksanakan pembaharuan ini.
Walaupun dalam beberapa bulan lagi politik negara mungkin ‘membahang kembali’ susulan perlunya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, ia diharapkan akan cepat reda dan ‘sejuk’ serta tidak berlarutan.
Cukup-cukuplah kita semua berpolitik dan mempolitikkan segala perkara sehingga menggugat kestabilan kerajaan serta negara. Belalang berharap kita semua bergerak bersama untuk membantu memulihkan segala ‘luka’ dan cedera dialami negara sebelum ini. Berhentilah ‘politiking’ yang tidak sihat sehingga menjelang PRU16.
Kerajaan dan ahli politik keseluruhannya perlu jujur, adil, amanah, telus dan berintegriti ketika berkhidmat. Anda perlu berperanan dan berfungsi dengan baik demi rakyat serta negara.
Belalang juga mengharapkan anggota perkhidmatan awam keseluruhannya memainkan peranan secara berkesan dan berintegriti sepanjang bertugas membantu kerajaan memulihkan semula negara dan berkhidmat untuk rakyat.
Rakyat pula perlu memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan menunaikan amanah dan tanggungjawab. Jika perlu menegur, tegurlah secara berhemah dan kritik secara membina. Paling penting, seluruh rakyat sentiasa menjunjung kasih dan menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu yang berhikmah merungkai segala kemelut politik negara.
Sponsored by Egroup88