Perancis, Argentina rebut RM185 juta
DOHA: Juara Piala Dunia akan menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$42 juta (RM185.8 juta) yang akan disalurkan kepada persekutuan bola sepak negara yang memenanginya.
Pasukan yang kalah pada aksi final antara Perancis menentang Argentina, malam ini akan menerima AS$30 juta (RM132.74 juta) daripada jumlah hadiah wang tunai keseluruhan yang disediakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebanyak AS$440 juta (RM1.9 bilion).
Ketika Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, negara berkenaan menerima AS$38 juta (RM168.13 juta) daripada jumlah hadiah wang tunai disediakan FIFA AS$400 juta (RM1.7 bilion).
Tidak semua wang tunai itu akan diterima pemain tetapi mereka dijangka mendapat sebahagian besar daripadanya.
Pemain Perancis seperti Kylian Mbappe akan dibayar bonus 554,000 euro (RM2.5 juta) oleh persekutuan bola sepak negara itu jika memenangi aksi final malam ini, lapor akhbar harian sukan Perancis L’Equipe.
Setiap persekutuan bola sepak kebangsaan mendapat hadiah wang tunai sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM39.82 juta) apabila bermain di Piala Dunia tahun ini, ditambah AS$1.5 juta (RM6.64 juta) sebagai kos persediaan untuk kejohanan itu.
Pasukan tempat ketiga Croatia memperoleh hadiah wang AS$27 juta (RM11.946 juta) manakala Maghribi yang mengakhiri saingan di tempat keempat akan dibayar AS$25 juta (RM110.61 juta).
Sponsored by Egroup88