Pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan perubahan biasa – PM
PUTRAJAYA: Pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) adalah satu perubahan biasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia tidak berkaitan dengan soal atau khabar angin yang diuar-uarkan dalam media mengenai kedudukan KSP, Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon sejak beberapa hari ini.
“Ini hanya pertukaran biasa, yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.
“Wewenang (hak dan kuasa) perbincangan diputuskan oleh penjawat awam, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri di 26 kementerian dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Asri sejak beberapa hari ini, yang dikatakan sudah dicutikan sejak Selasa lalu.
Media sebelum ini melaporkan kedudukan Asri menjadi teka-teki apabila kelibatnya tidak kelihatan pada majlis sambutan hari pertama Anwar, yang juga Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan, Selasa lalu.
Malah, ketika sidang media selepas program taklimat dengan Perdana Menteri, yang dihadiri pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anwar turut menyebut perbincangan mengenai kedudukan penasihat khas kewangan negara dengan KSP baharu.
Beliau bagaimanapun tidak tidak menyatakan siapa KSP baharu itu.
Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan pegawai tertinggi di beberapa kementerian, termasuk Ketua Setiausaha, di kementerian yang digabungkan menjadi satu, Anwar berkata, ia adalah urusan pentadbiran yang juga dikendalikan Mohd Zuki.
“Urusan pentadbiran, KSN akan kendalikan dan uruskan dengan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, dua kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Sponsored by Egroup88