Brazil tekad akhiri kemarau 20 tahun di Qatar
Skuad Brazil berharap mampu akhiri kemarau kejuaraan di Piala Dunia Qatar 2022.

BRAZIL menjadi satu-satunya negara yang beraksi dalam setiap edisi Piala Dunia.

Pada edisi kali ini yang akan berlangsung di Qatar menyaksikan skuad The Selecao tampil dengan misi memburu gelaran juara buat kali keenam selepas kali terakhir pada 2002.

Sehingga kini, Brazil masih memegang status selaku juara terbanyak Piala Dunia apabila menjulang trofi berprestij itu sebanyak lima kali pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002.

Brazil tersingkir di suku akhir empat tahun lalu selepas tewas kepada Belgium tetapi segera menebus kegagalan itu dengan menjuarai saingan Copa America 2019 di laman sendiri.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Tite gagal mempertahankan kejuaraan itu apabila tewas kepada Argentina di pentas final dua tahun kemudian.

Brazil berjaya mengesahkan tiket ke Qatar 12 bulan lalu ketika berbaki enam perlawanan dalam pusingan kelayakan Zon Amerika Selatan.

Selepas kemarau kejuaraan selama 20 tahun, kemampuan Brazil untuk sekali lagi muncul juara pada edisi kali ini mencetuskan persoalan tetapi ia dianggap masa terbaik untuk pasukan itu menutup mulut pengkritik.

Khidmat pemain veteran, Dani Alves dan kapten, Thiago Silva masih ditagih skuad The Selecao yang mana kejohanan kali ini menjadi penampilan terakhir buat kedua-dua pemain berkenaan.

Sentuhan bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Neymar sekali lagi menjadi taruhan bagi mengetuai jentera serangan Brazil dengan dua penyerang Real Madrid, Vinicius Jr dan Rodrygo bakal menjadi gandingannya.

Pemain sayap Brazil dan Barcelona, Raphinha, berkata Piala Dunia satu tempoh yang baik untuk menyerlahkan lagi perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat Brazil ketika dia mengimbau kejayaan negara itu muncul juara kali terakhir pada 2002.

“Biasalah jika penyokong teruja buat Brazil memenangi Piala Dunia kali keenam, begitu juga kami,” kata pemain berusia 25 tahun itu sambil mengimbau kemenangan 2-0 mereka ke atas Jerman pada final di Jepun 20 tahun lalu susulan dua gol sumbangan Ronaldo.

“Saya tidak ingat sangat mengenai Piala Dunia 2002 kerana saya masih kecil. Tetapi ia satu perasaan yang luar biasa dan sukar untuk digambarkan.

“Semua rakyat Brazil berpelukan dan bersatu. Kini ia satu saat yang baik untuk kami bersatu sekali lagi.”

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.