PRU15: Tiada ahli politik BN akan dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM – Ahmad Zahid
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) tidak akan melantik wakil rakyat atau ahli politik dalam kalangan mereka sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, komitmen itu adalah isyarat jelas mereka dalam usaha membanteras korupsi dan persepsi rasuah di dalam gabungan itu serta dalam kalangan masyarakat.

“Apabila BN menjadi sebuah kerajaan kuat (selepas PRU15), kita akan ambil tindakan kepada sesiapa sahaja termasuk daripada BN atau mana-mana parti yang melakukan korupsi.

“Itu saya jamin. Kita akan pastikan anggapan itu (BN penuh rasuah) tidak akan benar apabila tidak melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam kalangan ahli politik. Badan itu akan betul-betul bebas, tiada pilih bulu dalam tindakan terhadap mereka,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga calon kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti masyarakat Cina di Hutan Melintang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan bagaimana BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk kerajaan yang bersih, sedangkan terdapat calon pilihan raya gabungan itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Ahmad Zahid berkata, penghapusan korupsi akan menjadi komitmen BN dan bukannya retorik semata-mata apabila badan itu akan diperhebat daripada segi penguatkuasaan, pendakwaan dan siasatan secara lebih menyeluruh.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.