Bapa Nabil meninggal dunia
Nabil ketika menguruskan jenazah arwah bapanya, Ahmad Ismail di Hospital Serdang, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Bapa pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad iaitu Ahmad Ismail, 71, meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor, jam 2.30 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham Ahmad dimaklumkan oleh pengurus Nabil, Latip Ahmad.

Latip berkata, bapa kepada pengacara program Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan itu meninggal dunia komplikasi jantung.

Difahamkan, arwah dimasukkan ke Hospital Serdang sejak seminggu lalu untuk rawatan.

“Insya-Allah, jenazah dibawa ke Masjid Kariah Mambau, Negeri Sembilan untuk disolatkan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Garam, Mambau selepas Isyak,” katanya.

Stesen radio Era FM turut mengucapkan takziah atas pemergian bapa penyampai radio, Nabil Ahmad.

Menjenguk ke Instagram (IG) Nabil, majlis bacaan Yassin dan doa selamat diadakan malam semalam di Pondok Pesantren Darul Tauhid dan Masjid Kariah Mambau bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan bapanya.

Sementara itu, pengacara dan pelakon, Elly Mazlein menzahirkan ucapan takziah kepada rakan hosnya GV9 itu.

Elly atau pemilik nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, berkata dia juga ada mengirimkan ucapan takziah menerusi pesanan khidmat ringkas kepada Nabil.

“Al-Fatihah dan salam takziah buat Haji Nabil seisi keluarga. Saya dapat tahu apabila melihat hantaran daripada Sharifah Shahirah.

“Saya ada kirimkan ucapan menerusi WhatsApp dan dia ada membalasnya. Apapun, saya faham dengan situasi sukar yang dilalui Nabil ketika ini. Semoga semua urusan dipermudahkan.

“Tiada apa yang diharapkan melainkan doa yang baik-baik buat Nabil dan keluarga. Moga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan beriman. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat yang sudah tiada,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.