Anggap BN musuh, kenyataan Muhyiddin tak gambarkan pemimpin parti Bumiputera, Islam
Shahidan (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Perasmian Karnival Putrajaya 2022 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

PUTRAJAYA: Tindakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15 ) tidak mencerminkan kehebatan seorang pemimpin parti yang berasaskan Bumiputera dan Islam.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, selepas kecewa dengan kenyataan terbuka Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai sebagai syok sendiri.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kehebatan seseorang pemimpin parti Bumiputera dan Islam ialah tidak bermusuh dengan sesama parti Islam yang lain.

“Sepatutnya BERSATU bermusuh dengan DAP dan PKR yang terbukti menunjukkan rekod buruk sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Putrajaya 2022 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Muhyiddin sebelum ini mengisytiharkan secara terbuka BN sebagai musuh utama BERSATU pada PRU15 , selain menegaskan ahli BERSATU tidak perlu gentar dan takut terutamanya untuk menentang UMNO yang mana pemimpinnya terbukti mengaut harta rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BERSATU mempunyai niat yang baik untuk menyelamatkan negara ini daripada membiarkan harta rakyat dirompak.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga bekas Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) percaya, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya lebih berjiwa besar dengan tidak membuat pengumuman secara terbuka, seolah-olah BN langsung tidak pernah berjasa ketika mentadbir negara.

“Kehebatan dan kebaikan pemimpin parti Bumiputera Islam ialah bila mengumumkan Islam lain sebagai kawan dan bukannya musuh dan tindakan itu (dilakukan Muhyiddin) menunjukkan kekurangan diri.

“BN sendiri tiada masalah untuk umum siapa sebagai musuh, tetapi berbuat begitu kerana menganggap semua parti Bumiputera Melayu dan Islam sebagai sahabat dan itu yang sebaiknya.

“Sesiapa pun yang hendak bermusuh dengan BN, kita tiada masalah kerana parti ini sudah siap siaga menghadapi PRU15 dan kita akan lawan sampai menang,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.