Ringgit ditutup rendah selepas AS naikkan kadar faedah
KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup rendah pada Khamis walaupun harga minyak mentah tinggi, kata peniaga.
Dolar AS meningkat selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus bagi kali ketiga berturut-turut untuk menurunkan inflasi.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.5660/5695 berbanding dolar AS daripada 4.5520/5550 ketika ditutup pada Rabu.
Menurut Ambank Research, kadar faedah itu dijangka dinaikkan lagi dalam dua mesyuarat Fed akan datang iaitu pada November dan Disember manakala inflasi diunjurkan kekal.
“Justeru, asas kami mencadangkan bahawa kadar Fed akan berada pada 4.25 peratus hingga 4.50 peratus manakala potensi kenaikan pula kepada 4.50 peratus dan 4.75 peratus pada akhir 2022,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.
Menurut laporan, Fed meluluskan kenaikan kadar faedah kali ketiga berturut-turut sebanyak 0.75 peratus dan memberi isyarat bahawa kenaikan tambahan mungkin diputuskan pada mesyuarat akan datang untuk mengekang inflasi yang hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.85 peratus kepada AS$90.59 setong.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2196/2225 daripada 3.2217/2243 ketika ditutup semalam dan naik berbanding pound British kepada 5.1564/1603 daripada 5.1629/1663.
Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.5002/5037 daripada 4.5197/5227 semalam namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.1890/1919 daripada 3.1633/1656.
Sponsored by Egroup88