Ridwan terpaksa berdepan `drama’ sebelum raih emas
Atlet berbasikal Johor, Muhammad Ridwan Sahrom (tengah) ditenangkan rakan senegeri yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kemenanganya meraih pingat emas acara kieren lelaki mendapat bantahan pasukan Perak pada saingan SUKMA 2022 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

NILAI: Atlet berbasikal trek Johor, Muhammad Ridwan Sahrom berdepan ‘drama’ sebelum berjaya mengakhiri penantian empat tahun untuk meraih pingat emas acara keirin Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa ‘berperang emosi’ apabila pingat emas ketiga peribadinya ‘diragut’ selepas bantahan dibuat oleh beberapa pihak menyebabkan beliau dikenakan penalti sehingga tercampak ke kedudukan kelima dalam saingan akhir.

Muhammad Ridwan didakwa bergerak ke luar trek dengan niat memaksa lawan untuk naik ke atas ketika saingan akhir acara keirin hari ini.

Kem Johor yang ternyata tidak berpuas hati kemudiannya melakukan bantahan sebelum Jawatankuasa Komisar SUKMA memutuskan Muhammad Ridwan adalah pemenang mutlak pingat emas acara keirin Sukma ke-20.

“Saya cukup kecewa dan sedih serta marah dengan keputusan tadi. Saya tahu selaku pelumba profesional, saya tidak melakukan sebarang kesalahan pada perlumbaan tadi namun ada pihak membuat bantahan.

“Apa-apa pun saya bersyukur pingat emas acara (keirin) ini akhirnya menjadi milik saya selepas menunggu selama empat tahun. Kerja keras saya ternyata berbaloi dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” katanya kepada pemberita di sini.

Keputusan itu menyaksikan Muhammad Ridwan mencatat masa 10.737 saat mengatasi pelumba Terengganu Zulfahmi Aiman Zulkurnain yang memenangi perak manakala gangsa dimenangi wakil Kedah Umar Hasbullah.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mewakili Kedah membuktikan penguasaannya dalam sukan berbasikal apabila meraih pingat emas acara keirin.

Sejurus perlumbaan dimulakan, Nurul Izzah tampil tenang berada di kedudukan ketiga sebelum memintas pesaingnya memasuki selekoh terakhir untuk muncul juara dengan catatan 12.027s.

Kejayaan itu menyaksikan Nurul Izzah meraih emas keempat peribadinya di Sukma,

mengetepikan wakil Pulau Pinang Nurul Aliana Syafika Azizan yang berpuas hati dengan perak manakala pelumba Selangor Yong Ann Yii menang gangsa.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.