Ahmad Zahid beri isyarat PM kekal jika BN menang PRU-15
Ismail Sabri dan Vigneswaran (kiri) ketika Pelancaran Briged MIC Kebangsaan di Bukit Jalil hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ia disahkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri, jika parti itu menang PRU-15.

Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO itu dalam ucapan ketika merasmikan Bridged MIC di Stadium Axiata Arena di sini.

Beliau berkata, jika Perdana Menteri meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri, permintaan MIC akan dipertimbang.

“Saya yakin Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), saya dan PM (Perdana Menteri) akan memberi pertimbangan sehabis baik semua permintaan MIC.

“Kerana kita yakin kebersamaaan yang ada dalam parti komponen BN sudah diterjemahkan dengan sebaik- baiknya.

“Saya secara konsisten menyatakan bahawa BN akan terus mewujudkan negara bangsa, bangsa Malaysia. Apatah lagi jika PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri,” katanya yang disambut hadiri dengan tepukan dan sorakan gemuruh.

Kira-kira 10,000 ahli MIC menghadiri majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S Saravanan.

Kenyataan itu yang pertama seumpamanya berhubung kedudukan Ismail Sabri yang sebelum ini diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjadi calon ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri pada PRU-15.

April lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri, bagi menghadapi PRU-15.

Ahmad Zahid juga menegaskan permintaan MIC sebelum ini sudah pun ditunaikan Perdana Menteri.

“Saya yakin kesatuan parti pelbagai kaum ini walaupun agak berbeza, kita akan melayani apabila gendang ‘perang’ pilihan raya diumumkan Perdana Menteri.

“Kita akan berada dalam kesatuan besar BN dan yakin permintaan Tan Sri Vicky (Vigneswaran) didengar PM dan ada yang PM sudah umumkan pun tadi, semua permintaan itu diluluskan dan kita kena beri penghargaan kepada PM,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.