MATA gesa tindakan tegas pelancong tinggal lebih masa
KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa pihak berkuasa supaya bertindak lebih tegas, termasuk mengenakan kompaun lebih tinggi kepada pelancong yang tinggal lebih masa di negara ini tanpa sebab munasabah.
Ia susulan laporan media, semalam mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.
Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, berkata pihaknya amat terkejut dengan jumlah berkenaan yang disifatkan begitu besar dan jika tidak segera diatasi, jumlahnya akan semakin bertambah terutama selepas China membuka sempadan negaranya kelak.
Beliau bimbang ia seterusnya akan mengundang pelbagai masalah sosial, ekonomi dan keselamatan negara.
“Pihak berkuasa digesa memandang serius perkara ini dan bertindak bagi membendungnya supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Dengan berita yang dilaporkan ini, sudah tentu ia memberi kesan kepada persepsi negara lain yang pihak berkuasa Malaysia begitu lemah dalam mengawal pekara ini, terutama dalam zaman teknologi ini, di mana segala data dapat diperoleh dengan cepat,” katanya.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.
Bagaimanapun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 individu, berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.
Mohd Khalid berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha pelancongan yang membawa masuk pelancong luar negara supaya membuat laporan jika pelancong mereka hilang atau tidak dapat dikesan semasa berada di Malaysia, sekali gus membantu pihak berkuasa mengesan pelancong terbabit.
“MATA mengalu-galukan kedatangan pelancong dari China tapi kita mesti lebih berhati-hati bagi memilih pelancong yang lebih berkualiti dan bukan kuantiti,” katanya.
Sponsored by Egroup88