Masters Malaysia: Pemain negara hanya jadi penonton di final
Wooi Yik (kiri) dan Aaron gagal membalas pukulan pasangan Indonesia pada aksi separuh akhir Masters Malaysia di Axiata Arena hari ini.

KUALA LUMPUR: Badi penantian kejuaraan terus menghantui beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila kecundang di pentas separuh akhir Masters Malaysia 2022, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik tewas 14-21, 21-19, 10-21 di tangan pilihan keenam dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto sekali gus menjadikan rekod kemenangan dalam enam pertemuan antara mereka kini terikat 3-3.

“Saya rasa di set ketiga sebelum mereka meraih 11 mata, mereka banyak memberi tekanan. Selain itu kami berada di kedudukan yang perlu melawan arah angin. Jadi mereka bagi tekanan untuk kita buat kesilapan,” kata Aaron selepas perlawanan.

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia/Sooh Wooi Yik tewas kepada beregu lelaki Indonesia Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto pada Perodua Malaysia Masters 2022 di Arena Axiata.

Kekalahan di Axiata Arena Bukit Jalil itu secara tidak langsung menyamai pencapaian mereka di Terbuka Malaysia minggu lalu di mana gandingan yang berada di ranking keenam dunia itu tewas 21-23, 9-21 di tangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di separuh akhir.

Untuk rekod, kali terakhir Aaron-Wooi Yik mara ke pentas final musim ini adalah di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 yang berlangsung di Manila, Filipina, Mei lalu yang menyaksikan mereka tewas 21-23, 10-21 di tangan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan.

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia/Sooh Wooi Yik tewas kepada beregu lelaki Indonesia Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto pada Perodua Malaysia Masters 2022 di Arena Axiata. 

Gandingan Fajar-Rian dijadual bertemu rakan senegara, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pentas final esok selepas beregu pilihan ketiga Indonesia itu menumpaskan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.

Kekalahan Aaron-Wooi itu mengikuti jejak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang sebelum itu turut tewas di separuh akhir di tangan pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 10-21, 19-21 sekali gus menyaksikan tiada wakil Malaysia beraksi di pentas final esok.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.