30 askar Nigeria maut dalam serangan hendap
Sekurang-kurangnya 30 askar Nigeria maut dalam serangan di lombong dekat Shiroro, Niger.

MAIDUGURI: Sekurang-kurangnya 30 askar Nigeria terbunuh dalam serangan hendap selepas kumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah lombong di kawasan Shiroro di negeri Niger awal minggu ini, menurut tiga sumber semalam.

Tentera itu adalah antara pasukan keselamatan yang dikerahkan untuk mencari pekerja lombong termasuk empat warga China, yang dikatakan diculik ketika serangan berlaku pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Keselamatan Negeri di Barat Laut Niger, Emmanuel Umar, berkata pada mulanya bilangan orang yang terbunuh tidak diketahui ketika serangan lombong di Kampung Ajata Aboki.

Apabila pasukan keselamatan bertindak balas terhadap serangan itu, lelaki bersenjata melakukan serangan hendap dan melepaskan tembakan, kata dua sumber tentera di Shiroro dan Minna, ibu negeri Niger, semalam.

“Tragedi ini amat menyayat hati berikutan kami kehilangan ramai anggota yang sedang bertugas untuk menguatkan pertahanan.

“Ia cukup melemahkan tetapi kami tidak akan mengalah,” kata seorang tentera yang enggan dikenali berpangkalan di Shiroro, berikutan dia bukan jurucakap kepada media.

Askar Nigeria yang jarang mengulas mengenai kekalahan dalam pertempuran, mengakui ‘sebilangan pegawai bermati-matian berlawan dalam pertempuran sengit yang berlaku’.

Seorang pemimpin tempatan di Shiroro, menerusi panggilan telefon kepada Reuters, berkata lelaki bersenjata itu tiba dengan motosikal dan trak di lombong sebelum melepaskan tembakan, membunuh tujuh anggota polis yang sedang berkawal.

Katanya, mereka menculik pekerja berbangsa Cina dan menembak mati lapan orang awam. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada orang awam itu adalah pekerja lombong.

Kata pemimpin itu, seorang pegawai kanan dari Pusat Perintah Latihan dan Doktrin Nigeria di Minna mengetuai operasi bagi mengesan pekerja yang diculik.

Sehingga kini, Jurucakap Polis negeri Niger enggan memberikan sebarang ulasan.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, berkata lelaki bersenjata itu adalah ‘orang yang suka menyeksa atau menyakiti orang’ atau ‘sadist’, akan ditangkap dan dihukum.

“Shiroro akan menyaksikan keadilan,” katanya dalam ciapan Twitter, semalam.

Bagaimanapun, masih tidak jelas siapa yang melakukan serangan di Niger, di mana kumpulan lelaki bersenjata kerap melakukan serangan seumpamanya ke atas kampung terbabit.

Menurut pegawai tempatan, kumpulan militan Boko Haram disyaki membentuk kumpulannya di Shiroro dan mendalangi serangan terbabit.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.