Sempat lihat ayat cuba selamatkan adik
KAJANG: “Saya hanya sempat melihat ayah berusaha menyelamatkan adik yang tidak pandai berenang,” kata Mohamad Mustaqim Mohd Adnan, 17.
Remaja berkenaan adalah mangsa terselamat dalam insiden bot dinaiki tiga beranak itu terbalik di Jalan Kolam Takungan, Taman Cahaya, Sungai Chua, di sini, hari ini.
Mohamad Mustaqim berkata, terdahulu beliau bersama adiknya, Hakimi Mohd Adnan, 15, membantu bapa mereka, Mohd Adnan Johdi, untuk membersihkan kolam takungan itu sejak jam 11 pagi.
Beliau berkata, mereka mengutip sampah dan memotong daun teratai sebelum meletakkannya dalam bot dinaiki, namun ia menjadi semakin berat lalu tenggelam.
“Saya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam,” katanya.
Difahamkan, Mohd Adnan adalah kontraktor yang melakukan kerja pembersihan kolam berkenaan.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian dengan ahli keluarga saling berpelukan sambil menangis sebaik saja mayat kedua-dua mangsa dijumpai.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dipetik berkata mayat Mohd Adnan ditemui pada jam 5.12 petang, manakala mayat Hakimi dijumpai pada jam 6.56 petang.
Sponsored by Egroup88