Sameer ‘pemanas badan’ terakhir Zii Jia
Aksi Lee Zii Jia ketika membalas pukulan pemain Thailand Sitthikom Thammasin pada pusingan pertama Terbuka Indonesia semalam.

KUALA LUMPUR: Pertembungan dengan pemain India, Sameer Verma di pusingan kedua Terbuka Indonesia, esok dianggap sebagai aksi ‘pemanas badan’ terakhir buat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebelum berdepan ujian sebenar dalam misi menawan Istora Senayan.

Terdahulu, Zii Jia mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 21-15, 21-14 dalam aksi pusingan pertama, semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan, pemain nombor lima dunia itu diramal tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sameer sekali gus melangkah ke suku akhir.

Bagaimanapun, ujian sebenar buat dirinya akan bermula di suku akhir apabila dijangka bertemu juara dunia, Loh Kean Yew jika pemain Singapura itu turut mengesahkan kemaraan ke kelompok lapan terbaik.

Sekalipun berjaya mengatasi Kean Yew, Zii Jia berdepan satu lagi ‘malatapetaka’ yang menantinya di separuh akhir apabila diramal bertemu sama ada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark atau wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting yang menyingkirkannya di suku akhir Masters Indonesia, minggu lalu.

Tiga pemain sama ada bintang sensasi Jepun, Kento Momota; juara Seluruh England dari India, Lakshya Sen atau pemain Indonesia, Jonatan Christie berkemungkinan akan menjadi halangan terakhirnya untuk muncul juara jika mara ke final.

Selepas tersingkir di suku akhir Masters Indonesia, juara Asia itu mengharapkan keputusan yang lebih positif di Terbuka Indonesia tetapi sedar tetapi sedar dia perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.

“Saya tidak berpuas hati 100 peratus (prestasi ketika menentang Sitthikom), perlu lagi mengurangkan kesilapan mudah dan meningkatkan tahap fokus.

“Memandangkan ini adalah kejohanan berturut-turut, saya rasa kebanyakan pemain agak letih. Saya fikir segalanya mengenai mental dan fokus untuk bertahan lebih lama dalam kejohanan. Itulah cabarannya,” katanya.

Zii Jia menjadi sandaran untuk mengakhiri penantian Malaysia muncul juara kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2016.

Chong Wei menjadi pemain luar negara yang paling banyak merekodkan kejuaraan di Terbuka Indonesia apabila muncul juara sebanyak enam kali sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan dua legenda badminton Indonesia, Ardy Wiranata dan Taufik Hidayat yang turut meraih enam gelaran.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.