Najib cadang Petronas ambil alih Sapura Energy
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya Petronas mengambil alih syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) kedua terbesar dunia, Sapura Energy Berhad (Sapura Energy).
Cadangan itu antara dua syor dikemukakan beliau sebagai langkah untuk menyelamatkan Sapura Energy melalui program Debat Perdana yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini malam ini.
Satu lagi syor, kata Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Menteri Kewangan itu adalah melalui pinjaman bank yang dijamin kerajaan.
Mengulas usaha menyelamatkan Sapura Energy, beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan segera kerana tanpa sebarang tindakan sehingga 10 Jun ini, syarikat O&G itu mungkin diisytiharkan muflis.
Katanya, penyelamatan Sapura Energy sebenarnya tidak menggunakan satu sen pun duit rakyat, sebaliknya akan menyelamatkan 10,500 anak tempatan yang berkemahiran dan 3,000 vendor tempatan.
“Sapura Energy kekal syarikat strategik yang menjadi penggerak kepada sektor O&G negara. Syarikat ini memiliki potensi bernilai RM92 billion dalam masa dua tahun,” katanya.
Najib menjelaskan, beliau bertegas untuk menyelamatkan Sapura Energy disebabkan ia membabitkan 10.6 juta pelabur dalam Pemodalan Nasional Bhd (PNB) dengan nilai pelaburan RM5 bilion untuk menguasai 40 peratus pegangan dalam syarikat itu.
“Sapura Energy juga pernah menjadi syarikat O&G kedua terbesar dunia. Masalah dihadapi syarikat ini adalah membabitkan struktur industri dan kejatuhan harga minyak dunia selama tujuh tahun.
“Jika ada penyelewengan boleh ambil tindakan. Jika muflis yang rugi adalah negara dan rakyat,” katanya.
Sponsored by Egroup88