Pengadil Kedah-Sri Pahang mungkin dilayangkan kad merah


KUALA LUMPUR: Pegawai perlawanan yang mengendalikan aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA) FC bertemu Sri Pahang FC (SPFC) berdepan kemungkinan untuk dilayangkan ‘kad merah’ susulan prestasi yang dipersoalkan pada pertembungan terbabit.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman menjelaskan laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.
“Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada SPFC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil sudah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.
“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan pada hari perlawanan, pegawai yang bertugas pada aksi terbabit adalah Mohd Hasrol Mohd Amir (pengadil), Azri Rozaimie Abu Bakar (pembantu pengadil satu), N Kesava Raj (pembantu pengadil dua) dan Abdul Halim Mohd Ramlan (pegawai keempat).
Sementara itu, Abang Zulkarnain mengesahkan dua insiden kad merah yang berlaku pada aksi antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Selangor FC (SFC) serta KL City FC berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah keputusan yang tepat daripada pengadil.
“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan SFC, Yazan Al-Arab.
“FAM sudah menerima surat aduan daripada SFC pada Rabu dan sudah pun membalas surat berkenaan pada Khamis.
“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan KL City FC, Kenny Pallraj.
“FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada KL City FC,” katanya.
Sponsored by Egroup88