Warga Singapura gembira berbelanja di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: “Rasa seperti bermimpi pula dapat berbelanja semula di Johor selepas dua tahun tidak jejak kaki ke sini,” kata Mohd Alfian Abd Rahim, 34.

Warga Singapura itu dan isteri, Hannah Rahman, 30, bersama tiga anak mereka menziarahi keluarga di bandar raya ini selepas sempadan darat kedua-dua negara dibuka semula Jumaat lalu dan turut mengambil kesempatan mengunjungi kompleks beli-belah Angsana Johor Bahru Mall.

“Sangat gembira dengan pembukaan sempadan ini, sudah dua tahun tidak bertemu ahli keluarga di sini. Malah, apabila masuk ke sini, rasa macam di kayangan pula, umpama mimpi dalam realiti. Rindu sangat tempat ini (Angsana JB Mall), tidak sangka dapat membeli-belah lagi di sini.

“Saya juga gembira warga Malaysia yang bekerja di Singpura sudah dapat pulang bertemu keluarga selepas dua tahun berjumpa. Menjelang Aidilfitri nanti pasti lebih meriah, hari ini pun sudah ramai termasuk saya sendiri mahu membeli busana raya lebih awal,” katanya ketika ditemui di kompleks beli-belah berkenaan.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura juga tidak sabar untuk merasai kelazatan kuih raya dihasilkan di negeri ini dan menyifatkan sambutan Aidilfitri dua tahun sebelum ini tidak lengkap tanpa juadah berkenaan.

“Kuih di sini berbeza dengan di Singapura, tekak saya rasa kuih di sini lebih sedap, saya teringin sangat nak makan kuih ‘bangkit cheese’ dari Johor,” katanya.

Tinjuan di beberapa pasar raya yang menjadi tumpuan warga republik itu sebelum pandemik COVID-19 melanda, mendapati suasana masih belum meriah seperti awal Ramadan pada tahun-tahun terdahulu. Kunjugan warga Singapura bagaimanapun dijangka meningkat secara berperingkat, terutama minggu depan berikutan cuti umum di sana.

Pengurus akaun, Azhar Masril, 37, berkata pusat beli-belah antara destinasi pertama ingin dikunjunginya bersama keluarga selepas masuk ke Malaysia malam tadi kerana mahu berbelanja membuat persiapan awal menyambut Aidilfitri.

“Alhamdulillah masih berpeluang bertemu keluarga di sini, rasa cukup bahagia bersama-sama menyambut kedatangan Ramadan. Perjalanan kami dari Singapura malam tadi juga lancar, belum banyak kenderaan masuk ke Johor Bahru. Mungkin minggu hadapan, laluan mula sibuk kerana cuti umum di Singapura. Insya-Allah, harap perayaan tahun ini lebih meriah,” katanya.

Ketua Pengurus Operasi Angsana JB Mall, Imran Salleh, berkata pihaknya menjangkakan kunjungan 30 peratus warga Singapura ke kompleks beli-belah itu pada tahun ini, menyusut sedikit daripada kira-kira 50 peratus yang direkodkan pada tahun-tahun sebelum pandemik.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.