Ganjaran RM12,000 jika jumpa Acap sebelum hari raya
IPOH: Masuk tahun ketiga kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, peserta Gopeng Ultra Trail 2019, namun keluarganya tidak pernah berhenti beriktiar mencari, termasuk ikhtiar terbaru menawarkan ganjaran RM12,000 kepada mereka yang berjaya menemuinya sebelum Syawal ini.
Abang kepada Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, Mohd Zahiruddin, 38, melalui akaun Facebooknya, mengumumkan tawaran ganjaran itu sebagai satu daripada usaha mencari adiknya.
Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac 2019 apabila penganjur dan rakan gagal menemuinya selepas acara larian di kawasan Gua Tempurung di Kampar bagi kategori 25 kilometer disertainya ketika dia berusia 29 tahun, tamat jam 2 petang sehari sebelumnya.
“Sesiapa yang berjaya menemui adik saya Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak 12,000,” tulisnya yang turut meluahkan betapa banyak dugaan dilalui keluarga mereka sepanjang usaha mencari Acap, namun tetap bertahan.
Dalam tiga tahun ini, katanya, banyak kisah kedengaran mengenai Acap terutama spekulasi kehilangannya yang dikaitkan dengan pelbagai unsur mistik.
“Ironinya masyarakat lebih gemar cerita buruk dari yang sohih. Ada yang kata dia lari, ada yang kata dia berkahwin bunian dan tak nak balik. Ada pula yang kata ditangkap jin kerana mencuri batu, makan siput dan macam-macam lagi.
“Semua ini berpunca dari ‘content’ nakal ‘youtuber’ dan ‘influencer’ yang ketandusan modal idea. Sengaja mengetengahkan isu-isu ‘hoax’, rekaan supaya ‘rating’ video mereka naik dan mendapat imbalan dan juga hasil,” tulisnya lagi.
Mohd Zahiruddin atau Zaid berkata, cerita rekaan lebih tersebar luas, namun tidak memberi sebarang hasil dalam usaha pencarian, sebaliknya memberi kesan kesedihan kepada keluarga yang masih sedang menunggu kepulangan.
“Sedarkah anda di sebalik imbalan hasil yang ampa (kamu) dapat, ada ibu yang sedang berduka, ada keluarga yang sedang bersedih, ada anak kecil yang kehilangan ayah,” katanya memohon semua lebih bermuhasabah diri menjelang Ramadan ini.
“Di keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba, sebagai abang sulung dalam keluarga, nak kata pada semua, sudah sudahlah. Kitaran hidup kita ini pendek, musibah sebegini boleh terjadi pada siapa sahaja. Jika tidak kepada diri sendiri, mungkin boleh terkena pada anak isteri atau nasab keturunan,” katanya.
Sponsored by Egroup88