Tikam kembar hingga mati akibat berebut dadah

KUALA LANGAT: Seorang lelaki dilaporkan menikam adik kembarnya yang kemudian meninggal dunia, selepas berebut dan enggan berkongsi dadah di Kampung Seri Cheeding dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata siasatan awal mendapati dua beradik itu bertengkar berebut dadah jenis syabu dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

Katanya, perebutan membawa kepada pergaduhan sebelum suspek menikam adiknya di dada menggunakan pisau.

“Mangsa sempat menghubungi majikannya untuk meminta bantuan ke hospital dan memaklumkan ditikam oleh abangnya.

“Majikan mangsa yang tiba tidak lama kemudian menemui lelaki itu terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang ketika itu masih bernyawa dihantar ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada jam 10.45 malam tadi selepas dibawa oleh majikannya.

Katanya, polis turut menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam adiknya.

“Dua beradik itu bekerja di kebun sayur dan suspek dipercayai sudah 10 tahun terbabit dengan dadah.

“Hasil semakan, suspek membuat 12 rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja dan syabu,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.