Bunyi siren selamatkan penduduk

KUALA LUMPUR: Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja sektor perbankan, Natasha Alya Saifudin, 26, berkata beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat kali pertama terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira jam 5 petang semalam.

“Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat ketika hujan gerimis.

“Dalam keadaan panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar rumah untuk lihat apa yang berlaku dan ketika itu tanah sudah makin menurun,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda, sangat mengejutkan penduduk setempat kerana sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terbabit bencana alam mahupun banjir.

Seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren kuat daripada rumah putih bernombor ’50’, bertentangan rumahnya.

“Saya memang terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) seperti itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

“Saya terus membawa isteri dan tiga anak ke tempat selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta ke kawasan taman bersebelahan,” katanya yang terpaksa bermalam di sebuah hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Kwan Chew berkata, beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang kejadian itu kali pertama berlaku sejak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, dan menetap selama 20 tahun di kawasan itu turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.

“Ketika kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Sebaik terdengar bunyi siren, saya terus keluar rumah untuk tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu tanah runtuh sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa, manakala seorang cedera ringan, selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.