Pengusaha restoran sambut baik Fasa Peralihan Endemik
KUALA LUMPUR: Pemansuhan had operasi bagi premis perniagaan selaras Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, membuka peluang kepada pengusaha untuk kembali meraih pendapatan selepas terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata ia memberi peluang kepada pengusaha menjana pendapatan memberangsangkan terutamanya menjelang kedatangan Ramadan, bulan depan.
“Kami sangat mengalu-alukan pengumuman ini. Ia satu langkah positif dan akan membantu pengusaha untuk kembali menjalankan perniagaan seperti biasa, terutamanya melalui aktiviti bersahur pada Ramadan yang sebelum ini sudah dua tahun tidak boleh dilakukan di kedai makan.
“Bagaimanapun, pengusaha kini turut menghadapi kekangan untuk menjalankan perniagaan disebabkan kekurangan 50 peratus hingga 60 peratus kakitangan berikutan pekerja asing masih tidak dibenarkan kembali ke negara ini.
“Kalau dulu kami beroperasi dengan 10 pekerja, kini hanya empat orang yang tinggal,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan robot bagi menggantikan tenaga kerja membabitkan kos yang tinggi.
Justeru, katanya, pengusaha mungkin perlu beralih kepada perkhidmatan layan diri bagi memastikan restoran dapat memanfaatkan sepenuhnya pemansuhan had operasi perniagaan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media khas semalam berkata, pemilik premis kini dibolehkan untuk melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis mulai 1 April selaras pengumuman kepada Fasa Peralihan Endemik.
Dengan pengumuman itu, orang ramai kini dibenarkan untuk menjamu selera di kedai makan selepas tengah malam, berbanding garis panduan prosedur operasi standard (SOP) September tahun lalu yang mengehadkan aktiviti sedemikian sehingga jam 12 tengah malam.
Perdana Menteri berkata, fasa peralihan itu adalah strategi keluar daripada pandemik bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun bergelut dengan COVID-19.
Mengulas lanjut, Jawhar juga berharap acara lepak dan berlama-lama di restoran, tidak dibudayakan semula dalam masyarakat.
“Kalau nampak restoran ini penuh, mungkin pelanggan boleh memilih restoran lain bagi mengelakkan kesesakan.
“Pada masa sama, pengusaha restoran juga perlu terus kekal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jangan leka dan ambil mudah hanya kerana kita kini berada dalam Fasa Peralihan Endemik,” katanya.
Sponsored by Egroup88