Mahkamah tolak rayuan Khairuddin isu Muhyiddin tiada majoriti
PUTRAJAYA: Mahkamah hari ini menolak rayuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam permohonannya memulakan semakan kehakiman di mahkamah tinggi bagi mengarahkan peguam negara menasihati perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana didakwa kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah bersama-sama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Darryl Goon Siew Chye, sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal oleh Peguam Persekutuan Low Wen Zhen.
Dalam penghakimannya, Hanipah berkata, keadaan fakta dalam kes itu yang menjadi asas utama perisytiharan yang dipohon Khairuddin, tidak lagi wujud berikutan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021 bukan lagi perdana menteri.
Katanya, ia menjadikan perisytiharan yang dipohon Khairuddin dalam permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu hanyalah ulangan kepada Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, dan perisytiharan yang dituntut itu tidak mendedahkan sebarang pandangan yang bercanggah dengan peruntukan berkenaan.
“Dengan itu, bantahan awal oleh peguam persekutuan dibenarkan, dan rayuan ini ditolak,” katanya melalui prosiding secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom hari ini.
Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang….”
Mahkamah turut memerintahkan Khairuddin selaku perayu membayar kos RM10,000.
Dalam prosiding itu Khairuddin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Pada 3 Februari 2021, Khairuddin memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Tan Sri Idrus Harun supaya mahkamah mengisytiharkan tindakan beliau menemani Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari untuk mendapatkan perisytiharan darurat adalah tidak sah kerana Perdana Menteri tidak lagi mempunyai majoriti.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairuddin pada 27 April 2021 selepas memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan perundangan itu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya menyatakan, adalah jelas dalam Aturan 53 Kaedah 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bahawa untuk mempunyai locus standi dalam permohonan semakan kehakiman, pemohon perlu terkesan oleh keputusan, tindakan atau diabaikan dalam mana-mana pihak berkuasa awam yang berkaitan dengan pelaksanaan tugas atau fungsinya.
Ahmad Kamal berkata, beliau berpendapat Khairuddin tidak menunjukkan bagaimana beliau terkesan oleh pengabaian itu dan tidak ada bukti bahawa beliau mempunyai hak undang-undang tertentu atau kepentingan perundangan yang nyata dan tulen dalam perkara itu.
Sponsored by Egroup88