12 ditahan di tiga premis lombong bitcoin haram
KLANG: Polis Klang Selatan menumpaskan tiga kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram di tiga premis berbeza sekitar kawasan pusat komersial Bandar Puteri dan Bayu Perdana, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula 1 Mac hingga semalam itu, 12 suspek berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun ditahan membabitkan penjaga premis dan juruteknik mesin bitcoin.
“Semakan rekod mendapati, tujuh dari 12 suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan seorang daripadanya mempunyai empat rekod jenayah mengikut Seksyen 420, 395, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Polis turut merampas 155 unit mesin bitcoin, 37 unit pembekal kuasa, masing-masing tiga monitor dan unit pemerosesan pusat (CPU), router dan modem yang digunakan untuk aktiviti perlombongan bitcoin,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.
Hoong Fong berkata, siasatan TNB mengesahkan kegiatan itu beroperasi sejak dua bulan lalu menggunakan penyambungan bekalan elektrik secara haram dan sudah mengaut untung sehingga RM150,000.
“Hasil operasi itu, TNB dianggarkan kerugian RM60,000,” katanya mengesahkan nilai rampasan dibuat dalam operasi terbabit RM65,000.
Beliau berkata, semua suspek direman dua hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu katanya, dalam tempoh Januari hingga Februari ini, pasukannya memeriksa lima premis dan menangkap seorang lelaki serta merampas 131 unit pelayan bitcoin.
“Sepanjang tahun lalu pula, 11 premis diperiksa dan enam lelaki ditangkap dengan 696 unit pelayan bitcoin dirampas bersama peralatan untuk perlombongan mata wang kripto, dengan anggaran nilai rampasan adalah RM300,000,” katanya.
Sponsored by Egroup88