PN tawar air percuma

JOHOR BAHRU: Air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah akan diberikan Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pemberian air percuma itu adalah antara tawaran yang terkandung dalam Ikrar PN Johor yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN juga akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Johor bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Nasib golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik COVID-19 akan dibela PN menerusi penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh lima tahun.

“Selain itu, PN turut prihatin terhadap nasib masyarakat FELDA dengan merangka pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan warga FELDA dapat ditingkatkan.

“PN akan pastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, diselamatkan.

“Pembabitan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiatkan melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan.

“Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya membentangkan Ikrar PN Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan PN sebelum ini sudah membuktikan keprihatinan terhadap masyarakat FELDA dengan menghapuskan kira RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.

“Walaupun tempoh pentadbiran PN singkat, hanya 18 bulan, atas dasar keprihatinan kita terhadap masyarakat FELDA di negara ini, PN melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun mereka memerintah.

“Untuk rekod, BN tambah hutang FELDA, PN pula hapus hutang peneroka FELDA,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.