325 atlet wakili Sarawak ke SUKMA KL

KUCHING: Sarawak mempersiapkan 325 atlet bagi mengharungi cabaran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Jun hingga Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak, Semawi Mohammad berkata walaupun tarikh penganjuran SUKMA hanya diputuskan semalam, beliau yakin dengan persiapan dibuat setakat ini mampu meletakkan Sarawak antara pencabar utama temasya dwitahunan itu.

Katanya, semua atlet Sarawak sedang giat menjalani latihan intensif termasuk ditempatkan di beberapa lokasi di Semenanjung.

“Sarawak akan bertanding dalam 21 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib manakala lima lagi sukan pilihan.

“Walaupun SUKMA ditangguhkan beberapa kali susulan COVID-19, kita yakin atlet mampu memberi yang terbaik untuk Sarawak. Sehingga kini, persiapan latihan kita sudah mencapai antara 80 hingga 90 peratus,” katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, hari ini.

Semalam Kabinet meluluskan permohonan Kementerian Belia dan Sukan untuk menganjurkan SUKMA di Kuala Lumpur dalam tiga fasa. Fasa pertama akan diadakan pada 17 hingga 26 Jun manakala fasa kedua pada 15 hingga 24 Julai dan ketiga (19 hingga 28 Ogos).

Penganjuran secara berfasa itu dibuat bagi membolehkan penyertaan kontinjen dikawal menggunakan model gelembung sukan serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Bagi memperkemaskan persiapan kontinjen, Sekretariat SUKMA Sarawak memulakan operasinya hari ini di Ibu Pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak.

Mengenai 101 atlet yang sudah mengesahkan menarik diri daripada mewakili Sarawak pada SUKMA Kuala Lumpur itu, Semawi berkata, kekosongan mereka sudah diisi oleh atlet pelapis yang kini sudah turut menjalani latihan intensif.

“Seramai 101 atlet terpaksa menarik diri kerana melebihi usia untuk bertanding selain melanjutkan pelajaran dan bekerja,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.