Kelantan United jalin kerjasama dengan kelab Jepun
KOTA BHARU: Kelantan United Football Club (KUFC) menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak divisyen pertama Liga Jepun, Shonan Bellmare.
Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman sebagai ahli Perikatan Bolasepak Asia Bellmare (BAFA).
Katanya, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pasukan bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih untuk pasukan senior, pertukaran pemain dan menyokong kem latihan.
“Di peringkat akademi dan akar umbi pula, latihan akan diadakan dengan penyertaan pemain remaja, latihan jurulatih dan menyertai kejohanan remaja di Jepun.
“Selain itu, kita akan jalinkan usahasama dalam bidang perniagaan dan perkongsian maklumat termasuk jualan penaja,” katanya.
Anas Karimi berkata, kata sepakat bagi kerjasama itu terhasil daripada perbincangan secara maya antara pengurusan tertinggi kedua-dua pihak sebelum ini.
Hiroshi Hamada yang juga Ahli Lembaga Penasihat KUFC menjadi watak penting dalam merealisasikan kerjasama itu.
Sebelum ini KUFC menarik minat syarikat telekomunikasi Jepun di Malaysia, KDDI Malaysia Sdn Bhd dengan tajaan bernilai RM150,000 musim ini selain meneruskan kerjasama dengan syarikat priobiotik, Yakult Sdn Bhd.
Sponsored by Egroup88