Nurshuhaini raih pengalaman berharga
SHAH ALAM: Bintang muda, Siti Nurshuhaini Azman mengakui meraih pengalaman berharga sepanjang aksinya bersama skuad wanita negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Walaupun gagal membantu pasukan mara ke final selepas tewas 0-3 di tangan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir kelmarin, pemain perseorangan berusia 18 tahun itu percaya pengalaman diraihnya mampu menjadi suntikan tambahan untuk meletakkan diri dalam kelompok utama dunia.
“Saya jadikan kejohanan ini sebagai pentas untuk dapatkan pengalaman dan dapat belajar bagaimana untuk pergi lebih jauh selepas ini. Saya bangga dapat mewakili Malaysia dalam kejohanan ini.
“Selepas ini, tidak pasti apakah kejohanan yang akan saya sertai kerana jurulatih belum maklumkan apa-apa lagi berhubung kejohanan seterusnya,” kata pemain ranking ke-311 dunia itu.
Aksi Nurshuhaini mendapat pujian Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang melabel dirinya sebagai pemain negara paling menyerlah dalam saingan BATC kali ini.
Pemain berasal dari Selangor itu mempamerkan peningkatan prestasi positif terutama ketika mencetuskan kebangkitan skuad negara ketika menewaskan Jepun dalam aksi peringkat kumpulan Selasa lalu.
Dia juga cuba mencetuskan kebangkitan pasukan negara ketika bertemu Korea apabila memberi tentangan sengit dengan mengheret aksi ke set penentuan sebelum tewas 11-21, 21-15, 13-21 di tangan Lee Se Yeon.
“Memang ada rasa kecewa kerana tidak dapat bagi mata kepada pasukan negara kerana sedikit gugup memandangkan pasukan ketinggalan 0-2 ketika itu, jadi ia sedikit sebanyak mengganggu permainan,” kata Nurshuhaini.
Sponsored by Egroup88