Choong Hann tabik Siti Nurshuhaini
SHAH ALAM: Pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman dinobat sebagai pemain paling menyerlah dalam pasukan kebangsaan berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkannya pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Terdahulu, perjuangan skuad wanita negara dalam kejohanan berkenaan berakhir selepas tewas 0-3 di tangan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir, hari ini.
Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata pemain berusia 18 tahun itu mampu meraih pencapaian lebih baik jika dia terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi tahap permainannya.
“Kami harus akui bahawa kami tewas kepada pasukan lebih kuat. Secara keseluruhan masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh pasukan baik dalam acara beregu atau perseorangan.
“Saya lihat Siti mempamerkan permainan yang mampu mendapatkan mata. Banyak lagi yang perlu dipelajarinya terutama cara mengendalikan corak permainannya.
“Dia paling berpotensi pada kali ini. Dari segi asas permainan dia memang sudah bagus tetapi perlu tingkatkan lagi prestasi dalam usaha mendapatkan mata,” katanya.
Pada aksi separuh akhir di Pusat Konvensyen Setia City itu, Korea meraih mata pertama menerusi kemenangan Sim Yujin ke atas pemain perseorangan pertama negara, S Kisona 21-16, 21-17.
Pasangan negara, Pearly Tan-Valeree Siow yang diharapkan mampu menyamakan kedudukan turut gagal meraih mata apabila tewas kepada Baek Ha Na-Seong Seung Yeon 15-21, 14-21.
Siti Nurshuhaini yang beraksi selaku perseorangan ketiga cuba mencetuskan kebangkitan pasukan negara apabila dia memberi tentangan sengit dengan mengheret aksi ke set penentuan sebelum tewas 11-21, 21-15, 13-21.
Bagaimanapun, pencapaian mara ke separuh akhir sudah cukup untuk membolehkan Malaysia yang muncul juara Kumpulan Y melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.
Pada aksi final esok, Korea Selatan akan bertemu Indonesia yang memperoleh kemenangan percuma di separuh akhir selepas Jepun menarik diri.
Sponsored by Egroup88