Ketua Menteri cabar Sabah FC kembalikan kegemilangan
KOTA KINABALU: Skuad Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee dicabar untuk mengembalikan kehebatan pasukan itu yang suatu ketika dulu pernah melahirkan ramai pemain bertaraf bintang.
Cabaran itu dibuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang menyatakan harapannya agar kegemilangan pasukan kebanggaan peminat bola sepak Sabah itu kembali menyerlah, khususnya dengan barisan pemain baharu yang dilihat lebih mantap musim ini.
“Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara yang melahirkan ramai bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan dan Datuk Peter Rajah.
“Justeru, saya ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan hebat yang amat digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini,” katanya pada pelancaran jersi pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, di Pusat Beli Belah Imago, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar; Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan dan Kim Swee.
Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Sabah FC melakar kejayaan di bawah kepemimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pasukan pengurusannya.
Beliau percaya dengan adanya komitmen dan kerja keras, selain formula yang betul, Sabah FC dapat bangkit sekali lagi dan melonjak ke tahap baharu yang lebih gemilang.
Sementara itu, ketika memberikan kata semangat kepada semua pemain Sabah FC musim ini, Hajiji turut menggesa mereka supaya sentiasa mengekalkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi sepanjang bersama pasukan.
“Anda mesti mempunyai disiplin yang baik, sentiasa melindungi reputasi pasukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan menjadi contoh kepada pemain yang lebih muda dan akan datang tetapi meletakkan anda pada kedudukan yang lebih baik dalam kerjaya,” katanya.
Bagi musim 2022, Sabah FC menampilkan pemain import dari Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia selain turut dibarisi empat pemain kebangsaan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar serta tiga bekas pemain Harimau Malaya, Amri Yahyah, Irfan Fazail dan Nazirul Naim Che Hashim.
Mengenai jersi baharu Sabah FC, Hajiji menyatakan kegembiraannya apabila mengetahui jersi pasukan kali ini digabungkan dengan elemen tempatan seperti corak tradisi ‘Linangkit’ dan kontur Gunung Kinabalu yang disifatkan sebagai cara menarik untuk menjana pendapatan melalui penjenamaan pasukan.
Sabah FC menamakan jersi perlawanan di tempat sendiri sebagai ‘My Skin’, manakala ‘Dua Belas’ ialah nama jersi tempat lawan yang ditaja oleh Lotto untuk tahun kedua berturut-turut.
Sponsored by Egroup88