Malaysia cemas sebelum menang ke atas Jepun
SHAH ALAM: Malaysia berdepan detik cemas sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Jepun sekali gus muncul juara Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan pada aksi di Pusat Kovensyen Setia City itu dibayangi dengan kekalahan mengejut beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di tangan beregu muda, Ayato Endo-Yuta Takei, 23-21, 16-21.
Wooi Yik yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 semalam berkata kegagalan untuk menamatkan permainan di set pertama biarpun mendahului 20-14 mengubah keseluruhan aksi dalam perlawanan berkenaan.
“Selepas mereka (Endo-Takei) memenangi set pertama, tahap keyakinan mereka meningkat. Kami agak terkejut sebenarnya apabila mereka dapat mengutip mata dengan agak pantas bagi mengejar kami di set pertama.
“Set kedua, kami kurang selesa dan tidak dapat mencari rentak permainan sebenar kami,” kata Wooi Yik selepas tamat perlawanan.
Bagi Aaron, 25, dia mahu lupakan segera kekalahan berkenaan sebaliknya kembali fokus bagi menghadapi aksi separuh akhir, esok.
“Kami perlu terima kekalahan ini dan lupakan saja. Kami perlu bangkit untuk membantu pasukan bagi menghadapi perlawanan separuh akhir dan perlu lebih fokus,” katanya.
Terdahulu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan menerusi kemenangan ke atas Riku Hitano 15-21, 21-6, 21-15.
Zii Jia mengakui lawannya itu bermain dengan baik dan mempunyai corak permainan hampir sama dengan juara dunia dua kali, Kento Momota.
“Saya tahu angin di sini agak kuat. Set pertama saya banyak melakukan kesilapan mudah tetapi set kedua sudah mula dapat rentak dan boleh mengawal keadaan angin.
“Pemain Jepun ini corak permainan dia hampir sama seperti Momota…kurang lakukan kesilapan dan memang bukan mudah untuk lawan dia. Memasuki set ketiga, saya lebih yakin,” katanya.
Selepas kekalahan Aaron-Wooi Yik, kem skuad kebangsaan cemas apabila perseorangan kedua negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin tewas kepada Koo Takahashi 21-19, 16-21, 15-21 sekali gus membolehkan Jepun mendahului 2-1.
Bagaimanapun, beregu kedua negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya menyamakan kedudukan hasil kejayaan menundukkan Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida 17-21, 21-17, 21-17.
Juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao yang turun sebagai perseorangan ketiga menghadiahkan mata kemenangan buat pasukan negara selepas menewaskan Koshiro Moriguchi 21-18, 21-16.
Kejayaan menundukkan Jepun menyaksikan Malaysia yang sudah pun mengesahkan tiket ke separuh akhir lebih awal, semalam muncul juara Kumpulan B selepas merekodkan kemenangan dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan manakala Singapura naib juara.
Sponsored by Egroup88