Jualan vaksin Sinovac lonjak pendapatan Pharmaniaga
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 melonjak kepada RM172.15 juta daripada RM27.49 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2020.
Perolehan meningkat 77 peratus kepada RM4.82 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pertumbuhan dalam perolehan sebahagian besarnya berikutan jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan sektor swasta, diikuti pertumbuhan lebih kukuh oleh konsesi, bukan konsesi dan perniagaan kumpulan itu di Indonesia.
Katanya, kumpulan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi sebanyak RM342 juta, meningkat lebih dua kali ganda daripada RM101 juta pada tahun sebelumnya, yang menyaksikan kumpulan mencatatkan keuntungan lebih tinggi.
Bagi bahagian logistik dan pengedaran, katanya, ia mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih kukuh sebanyak RM73 juta pada tahun terbabit berbanding RM39 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, keuntungan yang bertambah baik itu berikutan terutama oleh lonjakan dalam permintaan dalam perniagaan konsesi serta pengedaran vaksin.
“Kumpulan diamanahkan oleh KKM untuk mengendalikan logistik dan pengedaran vaksin termasuk vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diterima daripada AstraZeneca, Fasiliti COVAX dan sumbangan oleh kerajaan asing.
“Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kami, dipilih melalui tender terbuka oleh KKM berikutan ia mempunyai infrastruktur, kepakaran dan keupayaan, dengan rekod prestasi terbukti selama lebih 25 tahun dalam mengendalikan vaksin,” katanya.
Bahagian pembuatan mencatatkan PBT sebanyak RM209 juta, peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan terutama oleh pembuatan pengisian dan pembotolan vaksin COVID-19 Sinovac dan vaksin siap yang diimport daripada Sinovac Life Sciences Co Ltd.
“Dengan pengembangan perniagaan pembuatan vaksin dan permintaan yang berterusan, prospek jangka panjang untuk bahagian pembuatan kekal optimis.
“Mengenai masa depan, kumpulan terus meningkatkan kecekapan operasi bahagian tersebut dan akan membina portfolio produknya yang semakin meningkat untuk memperluas kedudukannya di peringkat global serta memanfaatkan peningkatan penggunaan kapasiti melalui perniagaan pembuatan kontrak,” katanya.
Sementara itu, bahagiannya di Indonesia dapat mengurangkan kerugian sebelum cukai (LBT) kepada RM0.1 juta bagi tahun di bawah kajian daripada LBT sebanyak RM7.4 juta pada tahun sebelumnya.
“Ini terutama disebabkan oleh langkah pengoptimuman stok yang sedang dilaksanakan sekarang, kutipan pembayaran secara aktif serta pengurangan kadar semalaman oleh kerajaan Indonesia,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan segmen penjagaan kesihatan pengguna dan mencapai pertumbuhan dua angka bagi tahun kewangan 2022 dengan meningkatkan pemasaran bagi produk-produk berkaitan.
“Pharmaniaga juga terus meninjau saluran pertumbuhan bagi menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) biofarmaseutikal, vaksin dan insulin bagi melonjakkan portfolio produknya.
“Kumpulan ini mempunyai pasukan R&D yang besar dan berkemampuan untuk membuat formulasi produk-produk farmaseutikal generik setiap tahun yang membolehkan kumpulan menguasai pasaran baharu,” katanya.
Selain itu, kumpulan juga komited untuk mengembangkan perniagaan bukan konsesi, termasuk memulakan usaha mewujudkan fasiliti vaksin dan insulin halal pertama dunia.
Malah, pembangunan kilang terbabit berjalan lancar dan dijangka mencapai pengkomersialannya menjelang 2025, tanpa mengambil kira sebarang keadaan di luar jangka.
Di Indonesia, kumpulan juga optimis dapat meningkatkan keuntungannya, didorong oleh kejayaan usaha penyusunan semula operasi perniagaannya bagi menambah baik kecekapan operasi.
“Pharmaniaga optimis terhadap prospek masa depan yang cerah berikutan pelaksanaan strategi dan inisiatifnya selain pasaran ekonomi global yang diunjur mengekalkan pertumbuhan positif pada 2022,” katanya.
Dalam perkembangan lain, bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2021, Pharmaniaga mengumumkan dividen interim keempat bernilai lima sen sesaham yang akan dibayar pada 5 April 2022, kepada pemegang sahamnya yang layak pada 8 Mac 2022.
Pharmaniaga membayar dividen interim pertama bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 0.8 sen sesaham pada 6 Julai 2021 berjumlah RM10.4 juta manakala dividen interim kedua 1.5 sen sesaham pada 30 September 2021 berjumlah RM19.6 juta.
Pembayaran dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham pada 29 Disember 2021 pula berjumlah RM26.2 juta.
Sponsored by Egroup88