Polis Perancis tahan 500 kenderaan konvoi protes COVID-19

PARIS: Polis Perancis menahan 500 kenderaan yang cuba masuk ke Paris hari ini dalam protes ‘Convoi de la Liberte’ ayau ‘Konvoi Kebebasan’ membantah sekatan COVID-19.

Kenderaan itu berhenti di pelbagai pintu masuk ke ibu negara Perancis dan hampir 300 saman diserahkan kepada pemandunya pada pagi tadi, kata polis di Twitter.

Diilhamkan oleh demonstrasi ‘Konvoi Kebebasan’ membabitkan pemandu trak di Ottawa, Kanada, pemandu kenderaan dari banyak bandar di seluruh Perancis berusaha mengingkari arahan polis supaya jangan memasuki bandar itu.

Kurang dua bulan daripada pilihan raya presiden, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, tidak sabar untuk mengekang protes daripada terus meningkat menjadi demonstrasi besar-besaran umpama protes ‘jaket kuning’ anti-kerajaan pada 2018.

Peronda motosikal polis turut menahan dua van perkhemahan dan sebuah trak dari konvoi yang sampai ke jalan berprestij Champs Elysees di tengah Paris.

Polis juga berkata mereka menahan dua penunjuk perasaan di selatan Paris yang memiliki tin petrol, tukul dan pisau.

Pada masa yang sama, polis menggerakkan beribu-ribu pegawai, menubuhkan pusat pemeriksaan dan mengerahkan kenderaan berperisai dan trak meriam air sebagai persediaan menangani protes.

Bantahan terbaru di Perancis menentang peraturan yang memerlukan pas vaksin untuk masuk ke banyak tempat awam itu berlaku selepas berbulan-bulan demonstrasi menentang pas itu diadakan di Paris dan bandar lain.

Dalam pada itu, polis membenarkan dua perarakan jalanan oleh penunjuk perasaan anti-vaksin dan jaket kuning untuk diteruskan di Paris, hari ini.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.