KL perlu sedia hadapi cabaran, pastikan tiada golongan terpinggir

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur yang meniti usia separuh abad tahun ini harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta memastikan tiada golongan dipinggirkan selaras prinsip Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip tiada yang dipinggirkan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan mentadbir bandar raya ini perlu dinamik serta produktif dalam mengurus isu perbandaran dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

“Bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir bandar raya Kuala Lumpur.

“Golongan B40 misalnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur, di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Ismail Sabri berkata, pembentukan bandar raya yang mampan untuk semua perlu mengambil kira keperluan ekonomi sesebuah bandar, malah tarikan sebenar sebuah bandar raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

“Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka panjang,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga kota menjadi tunjang keutuhan Kuala Lumpur dan kewujudan media baharu mendekatkan mereka dengan pentadbir bagi menyuarakan suara serta pandangan dalam pembangunan ibu negara.

“Suara dan pandangan mereka inilah akan menggerakkan usaha kerajaan khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya,” katanya.

Mengimbau sejarah bandar raya pertama di Malaysia itu, beliau berkata, Kuala Lumpur yang dulunya sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi serta dipenuhi rumah atap nipah, kini meriah dengan bangunan pencakar langit dan perkembangan pesat penempatan penduduk.

Katanya, dunia juga terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan kini, Menara Merdeka 118 menjadi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pada ketinggian 678.9 meter.

Beliau berkata, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat saban tahun dengan kini dianggarkan lapan juta orang susulan pertumbuhan pesat ekonomi.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.