13 terbunuh dalam serbuan di barat laut Syria

ATME: Pasukan khas Amerika Syarikat (AS), dalam serangan yang jarang dilancarkan bagi memburu militan Daesh berpangkat tinggi, membunuh 13 individu.

Operasi yang disifatkan Pentagon sebagai ‘berjaya’ itu dilancarkan di barat laut Syria hari ini.

Operasi itu adalah yang terbesar seumpamanya dilakukan tentera AS di wilayah Idlib dikawal militan, sejak serbuan pada 2019 menyebabkan pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, terkorban.

Sasaran operasi terbaru itu adalah sekitar bandar Atme, yang menurut penduduk dan sumber lain, berlangsung sekitar dua jam, bagaimanapun penjelasan lanjut mengenainya masih belum diberikan.

Nama yang tersebar di media sosial dan dalam kalangan penduduk tempatan menyifatkan serbuan AS itu tidak ditujukan kepada operasi kumpulan militan Daesh, sebaliknya terhadap ahli kumpulan Al-Qaeda.

Pentagon tidak mendedahkan sasarannya dalam serbuan waktu malam itu tetapi memberitahu, lebih banyak maklumat akan diberikan kemudian.

“Pasukan Gerakan Khas AS di bawah kawalan Komando Pusat AS menjalankan misi menentang keganasan petang ini di barat laut Syria.

“Misi ini berlangsung dengan jayanya dan tidak ada kematian di pihak pasukan AS,” kata jurucakap tentera, John Kirby, dalam satu kenyataan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, tujuh orang awam adalah antara sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam operasi itu, yang menyaksikan tentera elit AS melakukan pendaratan helikopter berhampiran Atme.

“Ada orang awam dalam kalangan 13 individu terbunuh dalam operasi itu, antaranya empat kanak-kanak dan tiga wanita,” kata Ketua pasukan pemantau perang, Rami Abdel Rahman. 

Atme menempatkan sebuah kem besar untuk keluarga yang dipindahkan akibat konflik berlanjutan di Syria selama sedekad.

Kumpulan pakar turut memberi amaran kem itu digunakan oleh militan sebagai tempat untuk bersembunyi dalam kalangan orang awam.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.