Teong Kim pernah minta gaji sehingga RM374,000 sebulan – TMJ

KUALA LUMPUR: Berapa gaji Lim Teong Kim jika dia mahu berkhidmat untuk bola sepak negara?

Itu persoalan yang timbul selepas kebanyakan penyokong bola sepak tempatan mahukan supaya bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkongsi kepakarannya untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

Namun, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan gaji yang tinggi diperlukan untuk mengupah bekas pemain kebangsaan, dengan JDT pernah berdepan situasi sama bagi mendapatkan khidmatnya.

“Kalau untuk pembangunan, boleh tetapi berapa gaji dia? Masa dia mahu kerja dengan saya, dia minta 70,000, 80,000 euro (RM327,000-RM374,000) sebulan dan mahu membawa dua lagi pembantunya.

“Takkan saya nak bayar seperti itu. Jurulatih dan pemain saya pun tidak sampai begitu (gaji). Bagi saya itu banyak sangat tetapi semua orang berhak meminta sesuatu.

“Cuma kita tengok CV (biodata) dan pernah atau tidak dia menjadi jurulatih pasukan kebangsaan? Kalau dia sayangkan pembangunan Malaysia, suruhlah dia buat pembangunan dengan gaji RM20,000,” katanya dalam satu temuramah bersama ASTRO Arena, petang tadi.

Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah mendedahkan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu dibayar sehingga RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.