Myanmar digesa benarkan bantuan, kunjungan duta – PM Kemboja

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, menggesa pemerintah tentera Myanmar untuk membenarkan kunjungan duta khas daripada ASEAN dan menyokong akses bantuan kemanusiaan.

Setiausaha Kementerian Luar Kemboja, Kao Kim Hourn, memaklumkan Hun Sen sebagai Pengerusi ASEAN mengadakan sidang panggilan video bersama orang kuat tentera junta Myanmar, Min Aung Hlaing dan merayu supaya beliau akur dengan lima perjanjian yang dimuktamadkan bagi merungkai konflik di Myanmar.

Kesepakatan yang dipersetujui Min Aung Hlaing ketika mengadakan pertemuan secara fizikal bersama pemimpin ASEAN, April tahun lalu antara lain menggariskan komitmen ke arah menghentikan sebarang bentuk ketidaktenteraman, membenarkan akses bantuan kemanusiaan dan menyokong dialog secara terangkum.

“Beliau meminta Min Aung Hlaing untuk membantu supaya duta khas ASEAN dibenarkan mengunjungi Myanmar buat pertama kali pada masa depan.

“Beliau merayu kepada semua pihak, termasuk Kerajaan Myanmar untuk menghentikan keganasan dan mencapai persetujuan gencatan senjata, selain menjemputnya menyertai negara anggota ASEAN dalam menyediakan bantuan kemanusiaan ke untuk rakyat Myanmar yang amat memerlukan,” kata Kao Kim Hourn.

Myanmar dilanda krisis sejak tentera junta bertindak menggulingkan kerajaan hampir setahun lalu, dengan kira-kira 1,500 orang awam dilaporkan terbunuh dalam operasi didalangi tentera terhadap puak penentang.

Junta tentera menegaskan bahawa pihaknya sekadar memerangi ‘pengganas’.

Kao Kim Hourn bagaimanapun tidak menyatakan butiran maklum balas Min Aung Hlaing terhadap cadangan yang diutarakan.

Jurucakap tentera Kerajaan Myanmar pula tidak menjawab panggilan bagi mendapatkan butiran terperinci susulan perbincangan, hari ini.

Kao Kim Hourn berkata, Perdana Menteri Kemboja menzahirkan kebimbangan kepada Min Aung Hlaing, mengenai ketidaktenteraman yang tercetus sejak perbincangan diadakan.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Hun Sen, berdepan tekanan bagi memastikan Min Aung Hlaing akur dengan perjanjian kesepakatan yang dicapai di pentas ASEAN.

Segelintir negara anggota ASEAN menggesa supaya pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, yang didakwa terbabit dalam beberapa pertuduhan jenayah, supaya dibebaskan dan dibenarkan menyertai proses rundingan damai.

ASEAN tahun lalu mencetuskan kejutan dengan mengenakan sekatan terhadap tentera junta Myanmar daripada menghadiri mesyuarat, berikutan kegagalannya dalam menghormati kesepakatan ASEAN.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.