Pan Gon perlu buat dua kerja

KUALA LUMPUR: ‘Beban’ jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon dijangka bertambah apabila pengendali dari Korea Selatan itu mungkin terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa.

Ini selepas Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mencadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya tidak lagi melantik pengurus pasukan dalam kalangan pegawai FAM dan memberikan tugas terbabit kepada ketua jurulatih.

Pengerusinya, Datuk Dell Akbar Khan menjelaskan tugas jurulatih yang ‘sekali jalan’ dengan pengurus itu bukanlah satu pendekatan yang asing dan pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya tahu kadang-kadang FAM lantik seseorang pengurus supaya boleh melapor pada Exco dan sebagainya. Kalau orang luar, jadi sukar sedikitlah (urusan kerja).

“Kalau pengurus adalah orang dalam Exco ataupun FAM, (mereka) ada akses terus untuk melapor dalam mesyuarat tetapi kita tidak halang kalau FAM mahu melantik pengurus dalam kalangan pegawai FAM juga.

“(FAM) boleh gunakan pendekatan individu itu sebagai ketua delegasi untuk urusan ke majlis dan mesyuarat tetapi dia tidak terbabit dalam menguruskan pemain secara aspek teknikal dan sebagainya,” kata Dell.

Pada masa sama, Dell juga mengesyorkan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan supaya dianggotai beberapa ahli yang berkelayakan daripada segi teknikal seperti jurulatih ataupun bekas pemain yang pernah beraksi di peringkat tertinggi.

“Kita lihat komposisi jawatankuasa ini, saya dapati kebanyakan yang menganggotai jawatankuasa ini tidak berlatarbelakangkan teknikal atau kejurulatihan.

“Ini amat penting untuk mencorakkan dasar tetapi kalau orang yang bukan berlatarbelakangkan bola sepak, saya rasa tidak sesuai dan mungkin tiada hasil yang maksimum.

“FAM perlu melihat semula komposisi ini dan perubahan mungkin dapat disaksikan jika mereka menerima syor ini,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.